CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum, hai..

Saya masih baru lagi dalam arena penulisan ni. Masih banyak yang perlu dipelajari dan saya mengalu-alukan sebarang komen atau kritikan yang membina dari pembaca semua. Karya-karya yang terhasil adalah hasil nukilan dari saya sendiri. Jika ada yang menyentuh peribadi anda, mungkin itu cuma secara kebetulan saja..

Impian saya, semoga dapat menghasilkan karya yang bermutu dan menepati citarasa pembaca semua. InsyaAllah. Mungkin pada masa akan datang, jika diizinkan Allah, saya ingin bukukan karya-karya saya. :-)

Apapun, terima kasih pada yang sudi menjengah dan memberikan sokongan ye!

xoxo
Sarah Adyana



Segala isi kandungan di dalam blog ~**Bila Jemari Berbicara**~ adalah hak milik Sarah Adyana sepenuhnya. Kecuali, gambar-gambar yang digunakan adalah ihsan dari mr.google. Sebarang kegiatan untuk menyalin, mengedit, meniru atau yang sama dengannya adalah DILARANG sama sekali. Tolong kasihan pada kami, penulis yang penat memerah otak untuk menzahirkan karya-karya ini. Terima kasih.



[Bab 3]


Satu demi satu kedai dimasuki. Setiap kali Nur menyuakan barangan yang dia rasakan sesuai dengan selera lelaki, Maira cuma menggeleng dan menjuihkan bibir. Nur menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Boleh tahan juga taste si Maira ni..

“Maira, sebenarnya Maira nak cari hadiah apa untuk Along tu? Semuanya tak berkenan ni..” Nur bersuara sambil melihat Maira membelek-belek sebuah jam tangan jenama Tissot.
“Lupa pula nak bagitau Kak Nur. Sorry ye. Maira sebenarnya nak cari hadiah sempena pertunangan Along bulan depan. Tapi, Maira tak tahu nak bagi apa. Cadangan akak?”

Nur menelan liur. Oh.. sudah mahu bertunang rupanya. Siapalah agaknya gadis yang bertuah tu ye? soal hati kecilnya. Nur cepat-cepat mengusir rasa cemburu yang mahu bertandang di hati. Siapakah dia untuk berasa cemburu? Umar Amzar dan dia bukannya sesiapa. Malah, mereka baru sahaja berkenalan lewat Maghrib tadi. 

“Mm..Maira nak hadiahkan something untuk dibuat hantaran ke atau personal gift?”
“Personal gift. Barang untuk hantaran semuanya Mummy dah uruskan dah. Kak Nur, yang ini ok tak?” Nur disuakan dengan sebuah jam tangan Tissot bertali emas. Nur menggeleng dan disambut dengan ketawa oleh Maira. Nur menatap satu-persatu jam tangan yang ada di situ. Dan pandangannya tertancap pada sebuah jam tangan Tissot yang bertali hitam. Tissot Couturier Black. Nampak elegan.

“Kak Nur rasa yang ini ok. Cantik kan? Maira rasa Along suka tak yang jenis macam ni?” Maira turut sama meneliti jam tangan yang dimaksudkan. Tersungging senyuman di bibirnya.
Yes! Dah jumpa dah. I think he’ll like it, Kak Nur. Perfect!” jelas terpancar kegembiraan di wajah Maira. Nur turut tersenyum. Alhamdulillah.. nasib baik Maira suka dengan pilihannya. Kaki yang sedari tadi berdiri, mula terasa lenguhnya.

Setelah membayar harga jam tangan tersebut, Maira mengajak Nur ke Starbucks. Niatnya ingin membelanja Nur minum setelah hampir 2 jam menemaninya ke situ.

“Terima kasih, Kak Nur. Sebab temankan Maira shopping. Happy  sangat,” ujar Maira sebaik sahaja mereka mendapatkan tempat duduk. Nur memesan Iced Caramel Macchiato begitu juga dengan Maira.

“Sama-sama. Ala, lagipun malam-malam memang Kak Nur tak sibuk. Seronok juga  sekali-sekala dapat jalan-jalan cuci mata macam ni.” Tingkah Nur sambil menghirup minuman kegemarannya itu.

“Hm.. tak lama lagi Along dah nak bertunang. Lepas tu kahwin. Tak sabar Maira nak dapat anak buah.” Maira tersengih-sengih sambil berangan. Nur tersenyum mendengar kata-kata Maira. Terbayang di matanya wajah Umar Amzar. Tampak berbeza benar dengan wajah semasa mereka kemalangan dulu. Kali ini kelihatan lebih tenang dan santai. Nur akui dalam diam hatinya tercuit dengan lelaki itu. Nur mengeluh panjang. Mengusir segala rasa yang ingin bertandang.

“Siapa agaknya bakal kakak ipar Maira tu ye?” Nur bertanya. Sebenarnya dia tidak ingin tahu dengan siapa Umar Amzar bertemu jodoh. Tapi, mulutnya lancang sahaja bertanya.

“Kak Marissa. Dia dah lama kawan dengan Along. Rasanya semenjak dia orang kat UK lagi kut. Kak Marissa sekarang dah jadi model. Hm.. mesti anak-anak dia orang nanti comel-comel kan, Kak Nur.” Jawab Maira sambil tersenyum lagi.

“Maksud Maira, Marissa Idayu? Top model tu ke?” Nur sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Marissa Idayu dan Umar Amzar. Satu gandingan yang sangat ideal. Seperti pinang dibelah dua.

“Ye. Dialah girlfriend Along. Kalau dia bukan berkawan dengan Along, mungkin Maira akan syorkan Kak Nur pada Along. Kalau dapat Kak Nur jadi kakak ipar pun best jugak kan..” Usik Maira. Nur tersedak.

“Hisy.. ke situ pula Maira ni. Tak baik tau. Eh, dah lewat dah ni. Jom kita balik. Karang risau pulak mummy Maira.” Tingkah Nur sambil menjeling jam di tangannya.

Setelah menghabiskan saki-baki minuman, mereka berdua segera beredar ke kereta. Perasaan Nur sedikit terusik dengan gurauan Maira sebentar tadi. Namun segera dia beristighfar. Cuba membuang perasaan yang ingin bertamu di hati.

***

Isnin. Jalan raya agak sesak sementelah waktu itu adalah waktu puncak. Masing-masing sedang sibuk mencari tempat untuk mengisi perut. Jam di dashboard hampir ke pukul 1.15 petang. Nur terpaksa mengorbankan waktu makannya kerana ingin menghantar cupcakes yang telah ditempah oleh Intan, teman alam mayanya. Intan yang bekerja di Kurnia Holdings juga merupakan salah seorang pelanggan setianya. Sudah banyak kali juga Intan menempah cupcakes darinya. Selalunya dia datang mengambil tempahannya di rumah sewa Nur sendiri. Tetapi hari ini dia terpaksa meminta Nur membuat penghantaran ke pejabatnya kerana ada hal yang terpaksa diselesaikannya saat itu.

Sebaik sahaja meletakkan kereta di tempat yang telah disediakan, Nur bergegas menuju ke arah lif sambil tangannya menjinjing sekotak besar cupcakes. Sebaik sahaja Nur ingin menekan butang ‘naik’, dia disapa dari belakang. Terperanjat dibuatnya.

“Hai. Jumpa lagi ye kita.” Sapa Umar Amzar sambil melemparkan senyuman. Aduh, mahu gugur rasanya jantung Nur melihat senyuman itu.

“Hai. Ingatkan siapa tadi. Awak..kerja kat sini ke?” tanya Nur berbasa-basi. Umar Amzar berdiri sangat dekat dengannya. Bau haruman yang dipakai Umar Amzar menusuk ke hidungnya. Wangi!

Lif terbuka. Kosong. Nur menapak masuk diikuti oleh Umar Amzar. Nur segera menekan butang tingkat 10. Umar Amzar pula menekan tingkat 12.

“Ha’ah. Actually, saya baru balik lunch. Awak buat apa kat sini? Deliver cupcakes?” Umar Amzar masih ingin menyambung perbualan. Nur angguk. Terasa lama pula untuk sampai ke tingkat 10.

“Mm.. saya nak minta maaf pasal kejadian accident dulu. Saya tak bermaksud nak berkasar dengan awak. Sorry ye! Mesti awak fikir saya ni seorang yang teruk kan.” Nur terkesima. Dia sudah hampir lupa dengan peristiwa itu. Dia tidak menyangka yang Umar Amzar akan mengungkitnya kembali. Nur menggeleng.

It’s okay. Rasanya sesiapa pun kalau berada kat tempat awak, they will act the same. Saya tak kisah pun. Tapi, ye.. masa tu memang saya fikir awak seorang yang teruk.” Jelas Nur diiringi tawa kecil. Umar Amzar turut ketawa. Terasa saat itu begitu indah sekali. Melihat Umar Amzar ketawa, membuatkan hati Nur berasa senang sekali. 

So, friends?” Umar menghulurkan salam persahabatan. Nur sekadar tersenyum lebar dan mengangguk. Umar Amzar memandang Nur dan senyuman manis terukir di bibirnya yang berkumis nipis itu. Hati Nur berdetak laju lagi. Aduh..!

Ting!

Lif tiba di tingkat 10. Nur melangkah keluar. Namun, dia sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Umar Amzar sebelum lif tertutup kembali.

***

Marissa Idayu kelihatan anggun sekali berbaju kurung moden hasil rekaan pereka terkenal tanahair. Kurung moden berwarna merah gelap itu amat sesuai sekali dengan dirinya. Jemeki yang berkilauan di dada baju, menambahkan lagi keserian wajah Marissa. Dalam debar, dia duduk bersimpuh di pelamin yang indah sambil menantikan saat-saat manis bergelar tunangan kepada Umar Amzar. Lelaki yang amat dia cintai. Seribu kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Esa kerana telah menemukan jodohnya dengan lelaki itu.

Hampir kebas juga kaki Marissa apabila terpaksa duduk begitu untuk jangkamasa yang agak lama. Tapi senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya yang mungil. Tidak lama selepas adat merisik dan berbalas pantun dijalankan, ianya diakhiri dengan bacaan doa selamat dari Imam yang mewakili pihak Marissa. Marissa semakin lebar senyumannya tatkala Datin Zaliza menghampirinya.

Sebentuk cincin emas bertatahkan sebutir berlian disarungkan ke jari manis Marissa. Kilauan berlian itu memantulkan cahaya yang sangat indah. Usai cincin disarungkan, Marissa terus saja bersalam dan mencium kedua belah pipi bakal ibu mertuanya, Datin Zaliza. Umar Amzar yang turut serta dalam majlis itu tersenyum puas. Hajatnya kini hampir menjadi kenyataan.

Beberapa rakan media yang dijemput oleh Marissa, sedang sibuk merakam gambar Datin Zaliza dan bakal menantunya itu. Seketika kemudian, Umar Amzar pula diminta duduk di pelamin bersama Marissa. Umar Amzar yang juga lengkap berpakaian sepasang baju melayu rona yang sama, kelihatan sungguh tampan sekali. Sambil tersenyum, dia mengambil tempat di sebelah Marissa. Saling bergandingan untuk merakam foto hari pertunangan mereka. Ramai yang memuji betapa manis dan kacaknya mereka berdua. Sama cantik, sama padan. Bagai pinang dibelah dua.

Pelbagai gaya dan aksi sepasang merpati dua sejoli itu telah dirakam oleh lensa media-media yang hadir. Beberapa kali juga Marissa dan Umar Amzar mengurut-urut rahang yang sudah lenguh kerana asyik tersenyum sepanjang majlis berlangsung. Kadang-kadang kelihatan mereka tertawa melihat aksi masing-masing. Nampak begitu bahagia.

“Hai, Along.. dari tadi sengih sampai ke telinga. Sudah-sudahlah tu..” usik Maira pada abangnya. Umar Amzar tergelak. Di dalam kereta itu cuma ada dia dan Maira. Datin Zaliza, Dato’ Alias serta saudara-mara yang lain menaiki kereta mereka sendiri.

“Dah tu Along nak buat macam mana? Ini tindakan reflekslah, Maira.” Balasnya sambil terus menyambung gelak. Maira turut ketawa mendengar kata-kata abangnya itu. Orang tengah asyik dilamun cinta dan kemudian tidak lama lagi bakal menamatkan zaman bujang. Hmm… Mananya tak gembira!

“Oh, ya. Tadi cupcakes kat majlis tu.. siapa punya? Sedaplah. Kak Nur ke?” tiba-tiba Umar Amzar menukar topik perbualan. Maira angguk sambil mengerling abangnya yang sedang memandu. Umar Amzar menarik nafas panjang. Berfikir seketika. Kenapa nama Nur selalu wujud dalam kamus hidupnya? Ada saja kebetulan yang mengaitkan nama gadis itu dalam kehidupannya.

“Ha’ah la Along. Maira yang tempah. Special untuk majlis tunang Along dengan Kak Marissa. Sebab hari tu Kak Marissa tengah cari orang untuk buatkan cupcakes. Apa lagi, Maira suggest la Kak Nur.” Panjang lebar Maira menjawab. Umar terangguk-angguk mendengar penjelasan adiknya itu.

“Eh, bukan ke hari tu Along kata cupcakes Kak Nur tak sedap? Tipu Maira ye?” Kantoi! Umar Amzar tersengih. Maira memuncungkan mulutnya.

“Alah, Along saja je nak uji Maira hari tu. Tak sangka sayang sungguh Maira kat Kak Nur ye. Siap backing dia lagi.” Umar Amzar bersuara dengan tawa yang masih bersisa.

“Along memang macam tu. Suka kenakan Maira. Huh!” Maira berpura-pura merajuk.

Sorry la ye. Anyway, cupcakes dia memang sedap. Kalau boleh, Maira order untuk wedding Along nanti ye! Kak Marissa pun nampaknya suka.”

Akhirnya Maira tersenyum. Nampaknya bertambahlah peminat cupcakes Kak Nur. Dikerling Umar Amzar di sebelahnya. Umar Amzar melemparkan senyuman sambil mencubit pipi Maira, satu-satunya adik kesayangannya.

***

1 comments:

Syafi Najihah

Smbg lagi~

Post a Comment